I made this widget at MyFlashFetish.com.

Search This Blog


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA. BLOGSPOT ANI DIBUAT UNTUK MENYIMPAN KENANGAN MANIS DAN PAIT MELALUI GAMBAR DAN TULISAN, UNTUK BERKONGSI PENGALAMAN, PENGETAHUAN, PEGAJARAN, TEMPAT DAN KESIUKKAN MENGAIL. IANYA JUA UNTUK MENGENALI DAN MENGENALKAN NAMA DAN JENIS LAUK DI AING MASIN DAN AING TAWAR YANG ADA DI LAUT, DI TEPI PANTAI, DI SUNGAI MAUPUN DI TASIK YANG TERDAPAT DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM ANI MELALUI GENG PENGAILAN SEMUA. KAMI UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA YANG BERKESUDIAN MENGUNJUNGI BLOGSPOT ANI.

Kepada geng pengailan semua mun kan berkongsi gambar, cerita, tulisan, pengajaran, pengalaman, trip mengail, alat-alat mengail, alat-alat penangkapan yang lain atau apa saja lah samada petua, pantang larang atau etika mengenai mengail boleh lah mengirimkan ke

Pa_damit@hotmail.com

Preciousanglers@gmail.com

8193404 (bmobile)
8773404 (dst)


I made this widget at MyFlashFetish.com.

MENGANDANG

Saturday 5 December 2009

MENUNGKAT GEMILANG 1

Mengandang

Istilah mengandang adalah aktiviti menangkap udang dengan menggunakan andang karan, pukat tangsi atau pukat nelon. Pada pendapat saya mengandang atau memukat adalah suatu yang berbeza, itu hanyalah melalui kefahaman saya, mungkin ada yang mengatakan tidak ada bezanya, terpulanglah kepada kefahaman masing-masing. Udang atau siar ini pula ada pelbagai jenis, diantaranya ialah udang kapur, udang siar, udang bubuk, siar manjar atau bangkita dan berbagai-bagai lagi. Udang ini juga dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu udang besar, undang sederhana dan udang kecil. Sudah setentunya lah juga harganya akan berbeza mengikut saiz. Ada juga udang dikategorikan kepada udang tugu, udang ini biasanya akan dijual dengan borong atau di jual secara sukatan bakul yang di reka khas. Sistem ini hanya berlaku di dalam sesi memilih udang tugu oleh penugu sebelum udang tersebut dihantar ke pasar.

Andang karan (Gelaran orang tempatan) adalah sejenis pukat didatangkan dari luar negara. Ia mempunyai 3 lapisan jaring atau pukat. Pukat ini sangatlah berkesan sekali dibandingkan dengan pukat yang digunakan sebelum ini. Pukat yang digunakan sebelum kedatangan pukat ini adalah seperti pukat tangsi atau nelon, biasanya mata jaring nya berukuran 1 inci ¼ membawa kepada 1 inci 5/8. Jenis pukat ini masih digunakan hingga sekarang oleh nelayan yang tertentu. Pukat ini biasa nya akan dipatau dan dibatu dengan kemahiran sendiri. Apa pun beralih saya kembali kepada mengandang, memang banyak prihal yang bersangkut paut dengan mengandang. Bermula dari cara-cara atau teknik membawalah kepada petua-petua, serta faktor air pasang surut dan sebagainya.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya melibatkan diri dalam aktiviti mengandang ini, iaitu dengan mengikuti indung petuan turun ke laut. Banyaklah pengalaman dan pengetahuan yang saya timba dari mereka. Memang sekali pandang ia nampak mudah untuk dikendalikan, namun ia tidak semudah yang disangkakan. Hari minggu atau sewaktu cuti sekolah adalah peluang yang amat besar bagi saya untuk mengikuti aktiviti ini. Pada kebiasaanya saya akan bermalam di rumah indung petuan sebelum bertolak esok paginya. Seawal pukul 5 pagi selepas menunaikan sembahyang fardu subuh saya dan sepupu sudah di kejutkan, menandakan waktu untuk turun ke laut sudah tiba. Dengan menaiki perahu kayu pelauk berenjinkan 40 kuasa kuda kami pun bertolak menyusuri sungai Brunei menuju ke kawasan tugu berdekatan dengan tanjung selerong. Kawasan tugu ini telah diberi pengenalan dengan nombor, bermula dari nombor satu sehingga ke nombor 9. Kawasan ini memang menjadi tumpuan utama kepada pengandang udang. Selain dari kawasan tugu, kawasan seperti pulau kitang, kilong China, perapat lima, ujung sapoh, teritip dan sebagainya adalah juga destinasi pilihan, tergantung dimana perkhabaran berudang.

Andang udang yang kami bawa bersama sebanyak tiga bungkusan plastik kem. Dalam sebungkusan ia mengandungi 4 binata bererti satu jalan atau sejalan. Tiga jalan sudah memadai, akan tetapi ada juga yang membawa simpanan sehingga 3 jalan mengikut kemampuan masing-masing. Setiap sejalan akan dibubuh batu pembarat dan tali berpelampong dipangkal dan penghujungnya. Batu pembarat bertujuan untuk menenggelamkan pukat lebih cepat dan akan mempengaruhi sepanjang sejalan. Tali berpelampong pula adalah bertujuan untuk menarik kembali setelah ia di labuhkan kedasar laut nanti, selain itu ia juga sebagai tanda pengenal pukat milik sendiri. Kerana bukan hanya andang milik sendiri malahan berpuloh-puloh lagi pukat milik rakan pengandang juga berada di situ. Berbagai-bagai jenislah pelampong yang direka khas untuk tanda pengenal milik sendiri. Rata-rata pengandang akan menggunakan bekas botol cecair pencuci pakaian. Botol-botol ini akan digabung diikat kemas mengikut kemahiran masing-masing. Ada pula yang mengecat dengan pelbagai warna.

Mengandang memang mempunyai taktik dan teknik, jika salah mengendali memang semuanya akan menjadi serba tidak kena. Pada kebiasaannya setiap perahu pengandang akan mempunyai dua orang pengendali, seorang menjadi pemandu enjin dan seorang lagi menjadi pelabuh andang. Tidak kurang pula yang bertiga atau berempat. Akan tetapi ada juga yang mengendalikan bersendirian, ini bererti semua peranan penting terpaksalah dibuat sendiri. Saya percaya pengendali seperti ini sudah mempunyai kemahiran yang bertahun-tahun lamanya. Teknik melabuh andang jika bersendirian adalah berbeza sekali, namun yang penting adalah andang tersebut dapat dilabuhkan dengan betul.

Ketika hendak memulakan aktiviti, bungkusan andang akan dibuka, bahagian batu akan diletak dihadapan atau caruk dan bahagian patau pula akan di letak dibahagian belakang. Dengan mengambil kira pergerakan arus, angin dan persekitaran, pengandang akan memperkirakan di sebelah mana perahu andang akan dilabuhkan. Tali berpelampong yang di ikat kepukat akan dihumban jauh sedikit dari perahu untuk memulakan labuhan andang dan akan diikuti dengan batu pembarat. Seterusnya batu bahagian pukat akan dilabuh sedikit demi sedikit, bahagian patau pula akan keluar sendiri mengikuti bahagian batu sehinggalah kepada penghujungnya, labuhan hendaklah menghadang arus dan bukannya sejajar dengan arus. Setelah sejalan telah dilabuhkan ia akan dibiar sehingga kurang lebih 10 minit, ini juga bergantung kepada faktor arus, jika arus terlalu deras maka pukat akan dibangkit lebih awal. Semantara itu andang yang lain tidak langsung dilabuhkan, ini bergantung kepada hasil yang di perolehi dari labuhan yang pertama tadi. Jika hasilnya memberangsangkan barulah andang tersebut akan dilabuhkan. Andang-andang yang lain akan dilabuh berjauhan sedikit dengan menyusuri dari arah mana arus bergerak. Atau dengan melabuhkan di hadapan dan di belakang andang yang pertama tadi. Itu pun jika keadaan sekeliling mengizinkan. Setelah itu barulah kembali kepada andang yang pertama untuk memulakan sesi membangkit.

Dalam sesi membangkit juga harus mengambil kira faktor arus dan angin, jika tidak ia tidak akan berjalan dengan lancar. Langkah-langkah awal sebelum membangkit adalah seperti menghalakan enjin ke arah tertentu untuk untuk mengimbangi haluan atau sebagai kemudi, menyediakan bakul untuk mengumpul udang, kayu pemukul dan lapik pukat iaitu bekas pembungkus pukat dan apa-apa sahaja yang diperlukan. Caruk perahu akan sentiasa menghala kepada angin dan begitulah juga pukat. Pelampong akan mula diangkat dan menarik tali sehingga andang mula kelihatan. Bahagian batu akan di tarik disebelah depan dan patau pula akan di tarik disebelah belakang begitulah sehingga kepada penghujunngnya. Membuka atau memisi udang memang mempunyai cabaran dan teknik, jika udang kecil badannya akan dibengkok dan akan dikeluarkan dari mata andang. Jika udang bersaiz besar ia akan dikeluarkan bermula daripada ekor ke kepalanya dengan penuh cermat supaya udang tadi tidak rosak. Disepanjang sesi membangkit selain dari udang ada berbagai-berbagai lagi jenis ikan-ikan kecil akan tersangkut. Kadang-kadang hasil ikan akan lebih banyak dari udang yang dihajati. Tidak kurang juga sampah sarap, ranting kayu, sisa kerang-kerangan, sapoh dan sebagainya. Jika benda-benda ini pula yang tersangkut, maka pengandang akan mudah merasa tertekan disebabkan oleh kesukaran untuk membukanya. Namun pengandang adalah insan penyabar dan tekun. Selain itu andang juga boleh menyangkut ke dasar laut mungkin disebabkan oleh batang-batang kayu, ranting dan sebagainya. Ini akan menyukarkan lagi keadaan, kerana andang tidak mampu ditarik seperti biasa, terpaksalah andang tersebut diikat dicaruk dan di tarik dengan menggunakan perahu. Mahu tidak mahu andang yang ditarik akan rosak, itulah keadaannya asalkan andang tersebut berjaya dinaikkan kembali.

Diantara jenis ikan yang lumrah tersangkut pada andang karan adalah seperti ikan minyak-minyak, kirang-kirang, pila-pila, pelbagai jenis bilis, utik, jarang gigi, kuasi, rumahan, satak, ketam dan bermacam-macam lagi. Ikan-ikan ini walaupun bersaiz kecil namun jika dimasak ala kampong memang menyelerakan. Masakan yang biasa adalah seperti asam pedas, rebus sepohon dan goreng. Ikan-ikan ini jarang pula dijual, kerana memang sudah terbiasa di jadikan juadah sekeluarga setelah pulang dari mengandang. Jika tangkapan terlalu banyak, ianya akan disedekahkan kepada jiran-jiran tetangga. Pada lazimnya memang jiran tetangga juga akan menunggu-nunggu kepulangan sipengandang.

Jika bernasib baik memang udang akan diperolehi banyak sekali, sehingga mencecah kepada puluhan kilo. Terpulanglah kepada sipengandang samada mahu menjual hasil tangkapan atau tidak. Akan tetapi saya percaya jika hasil melebihi dari keperluan sebahagiannya juga akan dijual bagi menampung perbelanjaan minyak dan juga kelengkapan yang lain.

Keadaan air dan angin sangat memberi pengaruh kepada pengandang. Pengandang akan terus berusaha menambah habuan jika keadaan masih ditahap mengizinkan sehingga kepada lewat petang. Jika tidak pengandang akan berpuas hati setakat mana yang ada, jauh didalam hati mungkin ini sahajalah rezeki mereka pada hari ini. Mungkin esok atau lusa si pengandang akan berkunjung lagi ke tempat yang sama untuk mencari habuan. Setelah puas membuat perkiraan ahirnya kami akur dengan pendapatan yang sudah kami perolehi dan mulalah berkemas untuk pulang. Semua andang akan dibungkus kembali kedalam bekas yang telah dikhaskan dan di susun dengan kemas. Sisa-sisa sampah, uras-urasan akan dibuang, lantai-lantai perahu akan dibasuh dengan membawa lantai tersebut langsung ke air laut sekeping demi sekeping dan menyusunnya kembali ke tempat asalnya. Kita tidak mungkin akan tersalah letak, kerana lantai-lantai tersebut telah diberi nombor mengikut susunan nya.

Setelah semua dalam keadaan rapi dan selamat baharu lah menghidupkan enjin semula menyusur kembali sungai Brunei balik ke kampong. Hala tuju untuk pulang mempunyai 2 pilihan iaitu semada melalui Pulau cermin atau Menunggol. Dalam perjalanan pulang indung petuan tidak akan mengendali perahu lagi, biasanya beliau akan bersantai terlentok-lentok menyandar kepada bungkusan andang tadi. Sebaliknya perahu akan dikendali oleh anaknya yang sudah agak mahir walaupun usianya masih belum ditahap pengendali perahu. Sesekali melihat kepada gelagat sepupu mengendali perahu itu terasa pula aku ingin mencuba bagaimana rasanya. “Eh.. cuba pulang aku memigang enjin ah” pintaku kepada sepupuku yang sedang asyik memandu. “Eh.. pandai kan kau..” balasnya dengan tegas. Memang ia tidak mempunyai keyakinan kalau aku boleh memandu perahu tersebut. Sebelum ini aku memang tidak penah memandu perahu. Jangankan memandu untuk menghidupkan nya sahaja belum cukup kuat. Sudah lama niatku untuk memandu perahu namun aku tidak mempunyai peluang dan kesempatan. Aku tidak berputus asa untuk mencari kesempatan, berkali-kali aku memujuk supaya aku diberi peluang. Akhirnya aku diberi kebenaran yang terhad. “Sekajap saja ah” jelasnya dengan tidak yakin. Aku begitu teruja sekali kerana mempunyai peluang keemasan yang belum pernah ku rasa sebelum ini. Sebenarnya aku memandu tidaklah teruk sangat walaupun kali pertama akan tetapi dada ku terus bedebar-debar.

Tiba-tiba aku terdengar suara yang agak garau “Mengapa prau ani simpang-siurkan, nda besanang kan tidur” rupa-rupanya indung petuan telah pun terjaga akibat dari pemandu percubaan. Akhirnya pemandu pun bertukar tangan, “Apa nyangku” sindirannya cukup memberi peringatan kepada ku. Apapun aku tetap akur dan membiarkannya mengendali perahu hingga sampai ke destinasi iaitu ke tempat pembeli udang atau orang tengah untuk dipasarkan.

Itulah sedikit sebanyak mengenai dengan mengandang. Jika ada kesilapan atau perselisihan pendapat sila maklumkan supaya dapat dibetulkan. Insya Allah dalam menungkat gemilang siri 2 saya akan membawakan sesi “Karak kail”. Nantikan kemunculannya.



Hasil nukilan : Pa-iring

Jangan ketinggalan, sama-sama kitani nantikan MENUNGKAT GEMILANG DALAM SIRI KEDUA. Pa-iring akan membawakan tajuk lain lagi iaitu KARAK KAIL.



0 comments: