I made this widget at MyFlashFetish.com.

Search This Blog


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA. BLOGSPOT ANI DIBUAT UNTUK MENYIMPAN KENANGAN MANIS DAN PAIT MELALUI GAMBAR DAN TULISAN, UNTUK BERKONGSI PENGALAMAN, PENGETAHUAN, PEGAJARAN, TEMPAT DAN KESIUKKAN MENGAIL. IANYA JUA UNTUK MENGENALI DAN MENGENALKAN NAMA DAN JENIS LAUK DI AING MASIN DAN AING TAWAR YANG ADA DI LAUT, DI TEPI PANTAI, DI SUNGAI MAUPUN DI TASIK YANG TERDAPAT DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM ANI MELALUI GENG PENGAILAN SEMUA. KAMI UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA YANG BERKESUDIAN MENGUNJUNGI BLOGSPOT ANI.

Kepada geng pengailan semua mun kan berkongsi gambar, cerita, tulisan, pengajaran, pengalaman, trip mengail, alat-alat mengail, alat-alat penangkapan yang lain atau apa saja lah samada petua, pantang larang atau etika mengenai mengail boleh lah mengirimkan ke

Pa_damit@hotmail.com

Preciousanglers@gmail.com

8193404 (bmobile)
8773404 (dst)


I made this widget at MyFlashFetish.com.

SATU KATI SATU LINGGIT, bintur kacap

Wednesday 21 October 2009

Ani nah lagi sambungan cerita SATU KATI SATU LINGGIT seterusnya, ani pun alum abis ni ah ada lagi nanti tu Insya Allah minggu dapan kah.


Ah... rupa-rupanya lamunan ku begitu jauh sekali. Tiba-tiba dengan berbekalkan sebuah bakul dan pengayuh kelihatan seorang samar-samar dari jauh di atas titian pail menghala ke rumah ku, seraya berkata "bah apa lagi angan-angan atu, apa lagi ditunggu mari tah turun" rupa-rupanya yang di tunggu sudah tiba. "Inda plang angan-angan, ni nah meliat ari ah... taduh kah inda", balas ku dengan menyembunyikan keadaan sebenarnya. "Kau tunggu sekajap aku memberitahu mama dulu", pinta ku kepadanya. Aku pun bergegas masuk ke dalam rumah mengejutkan ibu sekadar untuk memaklumkan masa untuk turun sudah tiba. "Ma... bah kan turun tah kami ni... bedua ganya" pohon ku kepada ibu yang baru saja terjaga. "Bah baik-baik saja, jangan tah luan akhir balik... karang memberi ingau ati" seraya ibu membalas dalam keadaan rela dan keberatan, maklum sajalah diusia kami baru mencecah balasan tahun memang sukar untuk merelakan perpisahan walaupun sekadar sehari suntuk, namun itulah hakikatnya. Entah siapa tahu apa lagi dalam isi hati seorang ibu, tapi yang pasti doa seorang ibu semoga kami selamat pergi dan kembali dengan hasil yang baik.

Dengan bertawakkal kepada ALLAH aku melangkah bandul pintu hadapan disertai dengan sedikit bacaan dan petua yang telah diajarkan oleh nini laki. Tangan ku yang penuh dengan bakul bata (bekal) terus menuju ke tangga untuk turun ke gubang. Cuaca begitu mengizinkan sekali walaupun dalam samar-samar embun tua masih menyelimuti suasana, namun itulah petanda cuaca akan lebih panas ditengahari nanti. Aku terasa cukup lega setelah melabuhkan punggung ke lantai gubang, inilah saatnya yang dinanti-nanti, kami berdua sudah siap sedia, pengayuh sudah di tangan perahu sudah di air.

Keadaan air yang mula menunjukkan bunga pasang menambahkan lagi semangat kami untuk sampai ke destinasi. Kerana ketam akan mudah diperolehi ketika air sedang pasang. Destinasi kami kali ini ialah kawasan Buang Sakar. Tempat ini memang menjadi lubuk bagi ketam terutama ketam kalok dan ketam piai. Ini adalah disebabkan oleh faktor keadaan persekitaran yang dipenuhi oleh hutan bakau. Selain dari Buang Sakar banyak lagi tempat yang tidak kurang juga strategiknya seperti Pulau Si Bungor, Sg Kalamasi, Sg Butir, Buang Tawar dan sebagainya. Tempat-tempat ini adalah tertakluk kepada keadaan, seperti faktor air pasang penuh dan air surut penuh, angin dan ombak. Semua ini akan memberi pengaruh yang besar dalam menentukan destinasi manakah yang akan dituju. Akan tetapi mengikut pada kebiasaan memang Buang Sakar lah yang akan menjadi sasaran utama di sebelah awal pagi. Destinasi yang lain biasanya akan mengambil tempat di sebelah petang.

Dengan berbekalkan sedikit petua orang tua-tua kami mulalah mengayuh menuju ke Buang Sakar. Setelah berada di tengah aloh kami akan berhenti seketika untuk menunggu rakan-rakan yang lain yang sama satu destinasi dengan kami. Setelah kesemuanya berkumpul barulah kami bertolak bersama. Di dalam perjalanan kami tidak lupa untuk beriadah untuk menaikkan moral dan semangat. Maklum sajalah destinasi yang akan dituju ini agak lumayan juga jauhnya apatah lagi dengan berkayuh. Berbagai-bagai cara dan teknik digunakan seperti bernyanyi-nyanyi dan bercerita. Selain dari itu perlumbaan juga boleh menimbulkan semangat maklumlah diwaktu itu masing-masing mahu menunjukkan gagah. Kadang-kadang memang tidak dapat disangkal kerena mereka memang sudah terbiasa bersama ayah mereka dengan kerja yang berat-berat seperti menetak bakau atau mengambil bakau di hutan, menetak nibong dan berbagai-bagai lagi. Jikalau cuaca baik memang seronok, taoi ada kalanya juga cuaca agak berangin dan berombak. Tetapi semua itu tidak menjadi halangan yang besar. Dalam suasana seperti ini kami tidak mudah kelam kabut, saya masih ingat dengan petua orang tua-tua jika berada dalam keadaan seperti ini, bawalah bertenang dan sebutlah perkataan "inda membawa-bawa pelapah kami bawa" berulang-ulang. Perkataan ini memang mempunyai maksud yang tersendiri tapi yang penting kami dapat mempertahankan semangat.

Pada kebiasaannya perjalanan kami akan melalui lereng pohon perapat dan tebing bakau yang rendang kerana arusnya tidak begitu kuat disamping pemandangannya yang begitu unik. Setelah sekian lama menggembeling tenaga berkayuh kami telah pun tiba ketempat di mana kami akan melabuhkan bintur-bintur kami. Kesemua kumpulan mengambil kedudukkan untuk melabuhkan bintur masing-masing. Jika ada empat kumpulan maka empat barislah juga bintur tersebut. Aku masih merasa pelik mengapa kami melabuh bintur seperti ini. Entah dari mana kah kami dapat sistem melabuh seperti ini. Timbul persoalan kenapa ia dilabuh begitu dekat barisnya antara satu dengan baris yang lain sedangkan jarak antara bintur barisan kepunyaan sendiri adalah berjauhan. Setelah semua bintur tersebut habis di labuh, semua kumpulan akan berlabuh rapat antara satu sama lain di bawah pohon perapat yang begitu rendang. Bata yang kami bawa mulalah dijamah untuk hidangan sarapan pagi. Alangkah indahnya waktu bersarapan, paling tidak pun sekadar minum secawan kopi sudah memadai. Kerana bata ini akan di hemat sehingga ke petang. Ketika ini akan timbullah berbagai-bagai cerita, rata-rata ceritanya akan berkisar mengenai dengan persiapan sebelum membintur. Perbualan ini akan berlangsung 20 minit lamanya. "Bah maritah katani membangkit... ada kali sudah..." kata seorang dari kami. Kami sudah tidak sabar lagi untuk melihat hasilnya. Masing-msing terbayang di dalam benak fikiran bahawa merekalah yang akan mendapat banyak. Namun itu hanyalah apa yang diimpikan. Tetapi sebenarnya takdirlah yang lebih tepat. Kerana melalui pengalamanku walau sehebat mana sekali pun seseorang itu bukanlah menjadi ukuran untuk mendapat lebih banyak. Ia akan lebih bergantung kepada nasib dan kemahiran membangkit. Seekor demi sekor ketam sudah dinaikkan ke gubang, ada kalanya dalam satu bintur dua ekor ketam atau lebih dalam sekali bangkit. Seperti yang saya telah katakan ia bergantung kepada nasib dan kemahiran. Setelah yang terakhir diangkat kami akan berkumpul semula. "Ada ia...? tanya seseorang. "Ada jua..." balas ku dengan penuh rasa syukur. Memang pada waktu itu ketam banyak sekali. Nampak kelihatan disetiap wajah kumpulan begitu ceria sekali.

Kami tidak akan berlengah lagi, ketam-ketam yang telah pun dinaikkan akan mula dipayuk atau diikat satu persatu. Sekali pandang ketam ini memang kelihatan merbahaya kerana kedua sapitnya akan menyerang apa sahaja yang datang menghampirinya. Namun perasaan takut sudah tiada lagi. Selain dari kegembiraan yang amat sangat , kami sudah begitu mahir untuk apa juga jenis ketam dari yang kecil hinggalah ketam yang tua. Dengan menggunakan cabang tiga yang diambil dahan kayu bakau. Ketam akan mudah dapat ditangkap dengan mudah sekali. Cara untuk memayuk pula adalah mengikut kesikapan masing-masing, ada yang dari depan kebelakang dan sebaliknya. Tali pemayuknya pula memang kami bawa khusus dari rumah. Tali ini biasanya kami panggil dengan tali purun atau nama sebenarnya tali rafia. Setelah ketam-ketam tadi siap dipayuk ia akan disimpan ke dalam guni bekas gula.

Perbualan yang terputus tadinya akan disambung semula. Perbualan kali ini akan lebih hangat kerana tentu saja isi kandungannya mengenai apa yang baru saja berlangsung, ada yang mengkhabarkan jumlah ketam yang baru diperolehi dan ada juga yang meristakan pertarungannya ketika membangkit sehingga terlepas akibat ombak besar yang terhasil dari speedboat yang berulang alik dari Bandar ke Temburong dan sebaliknya. Memang tidak dapat disangkal halangan ini, kerana kawasan pembinturan ini memang terlalu dekat dengan laluan speedboat Temburong tambahan pula ketika air dalam keadaan surut penuh atau tuhur pagi, air akan hanya berada di aloh sungai. Sungainya akan mengecil sehingga mencecah ukuran hanya 10 meter lebar. Bayangkanlah apa yang akan terjadi, di situlah segala macam kenderaan laut akan lalu lalang termasuklah gubang kami yang hanya berukuran 3 meter panjang. Apa pun jua keadaan seperti ini sudah menjadi asam garam. Yang penting perhatian dan pengawasan mestilah dipertingkatkan demi menjaga keselamatan. Sambil berbual-bual dan sambil minum peralatan akan dikemas kembali. Umpan pula akan disediakan untuk bintur yang sudah habis atau terlepas dari ikatan. Sisa sapit ketam yang telah tanggal dari yang empunya akan disimpan ke dalam bakul, kerana jika kesemua ketam yang disimpan ke dalam bekas guni habis dijual maka sapit-sapit inilah hanya yang akan dimasak buat hidangan apabila pulang nanti.

Matahari yang mla mendaki langit semakin mula memancarkan cahayanya dan kepanasan akan mula terasa. Demi untuk melindungi dari panas terik kami akan membalut muka dengan baju T sehingga kesemua bahagian muka kecuali mata akan terlindung. Baju panjang tangan pula akan mula dipakai. Dengan demikian keselesaan akan bertambah baik. Kadang-kadang apabila saya ternampak pekerja buruh bangunan yang ada sekarang mengingatkan aku kembali sejarah silam. "Iatah bapa ni macam buruh keraja bangunan ah mata saja yang nampak" jelasku kepada anak-anak apabila terserempak dengan keadaan sedemikian. Anak-anak tersenyum sinis. "Macam ninja jua pa" balas anak-anakku. Aku rasa dari apa yang mereka katakan mereka masih belum memahami dari mana akar bercambah.


Selain dari hadangan ombak besar, pengaruh angin iraga juga boleh menjejakan kelancaran membintur. Diwaktu ini angin bertiup agak kencang menyebabkan gubang akan terumbang ambing seperti hilang kawalan. Ini bererti aktiviti membintur akan berakhir lebih awal jika sekiranya keadaan bertambah buruk akibat keletihan. "Bah semua sudah sedia" tanya seseorang. Ini bererti masa untuk membangkit kali kedua akan dijalankan. Semua kumpulan akan mula mengemas kembali cawan-cawan bekas menikmati sarapan dan juga sisa kuih yang dihidang ke dalam bakul. Tali gubang yang terikat ke pohon perapat akan dilepas dan mulalah berkayuh menuju ke permulaan bintur. Permulaan bintur bererti dari arah berlawanan arus, ini adalah untuk memudahkan membangkit dan mengelakkan ketam yang terperangkap dari mudah terlepas. Kali ini rakan ku pula dibahagian belakang sebagai pekayuh utama dan pengemudi dan aku pula dibahagian hadapan sebagai pekayuh tambahan dan juga sebagai tukang bangkit. begitulah seterusnya bergilir-gilir apabila tiba masa untuk membangkit seterusnya. Bahagian hadapan ini adalah bahagian yang sentiasa yang sentiasa diinginkan kadang-kadang ia boleh juga menjadi pertengkaran kecil.

Kerana bahagian hadapan adalah fungsi utama diwaktu membangkit dan ia juga bahagian yang secara langsung berhadapan dengan cabaran. Walaupun demikian sebenarnya mana-mana bahagian pun mempunyai peranan yang sama penting. Bahagian belakang mestilah mempunyai kawalan yang cukup baik ketika menuju kepada bintur, jika kurang awas bintur akan terlepas dan terpaksalah berpusing balik, ini akan memakan masa dan tenaga. Bahgian hadapan pula mestilah mempunyai jangkauan yang baik, ada kalanya menggunakan ulu pengayuh untuk mendapatkan tali bintur yang agak jauh dari sisi. Ketika menarik pula mestilah direntap dengan pantas untuk mengelakkan ketam yang terperangkap dari terlepas. Ketam yang berjaya dinaikkan akan disimpan di bawah ruang, ini membolehkan ketam-ketam akan bergerak bebas. Jika ketam disimpan ke dalam suatu bekas, ketam akan mudah berkelahi antara satu dengan yang lain dan akibatnya sapit-sapit ketam akan tanggal dan akan menyebabkan ia kurang elok. Lain pula halnya jika bertiga, ketam yang didapat akan terus dipayuk atau diikat dengan kemas.

0 comments: