I made this widget at MyFlashFetish.com.

Search This Blog


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA. BLOGSPOT ANI DIBUAT UNTUK MENYIMPAN KENANGAN MANIS DAN PAIT MELALUI GAMBAR DAN TULISAN, UNTUK BERKONGSI PENGALAMAN, PENGETAHUAN, PEGAJARAN, TEMPAT DAN KESIUKKAN MENGAIL. IANYA JUA UNTUK MENGENALI DAN MENGENALKAN NAMA DAN JENIS LAUK DI AING MASIN DAN AING TAWAR YANG ADA DI LAUT, DI TEPI PANTAI, DI SUNGAI MAUPUN DI TASIK YANG TERDAPAT DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM ANI MELALUI GENG PENGAILAN SEMUA. KAMI UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA YANG BERKESUDIAN MENGUNJUNGI BLOGSPOT ANI.

Kepada geng pengailan semua mun kan berkongsi gambar, cerita, tulisan, pengajaran, pengalaman, trip mengail, alat-alat mengail, alat-alat penangkapan yang lain atau apa saja lah samada petua, pantang larang atau etika mengenai mengail boleh lah mengirimkan ke

Pa_damit@hotmail.com

Preciousanglers@gmail.com

8193404 (bmobile)
8773404 (dst)


I made this widget at MyFlashFetish.com.

SATU KATI SATU LINGGIT, bintur kacap

Wednesday 7 October 2009

Ani lagi nah sambungan cerita Satu Kati Satu Linggit
oleh PA IRING-PRECIOUS

Di atas bakut ini juga akan berlangsung aktiviti memotong-motong umpan bintur yang telah diperolehi. Kerja-kerja akan dibahagi-bahagikan, sementera teman saya memotong aku pula akan mengikat tali kepada umpan yang telah dipotong-potong tadi supaya ia mudah diikat pada bintur. Sementara menunggu keesokkan harinya setentunya umpan tadi akan menjadi buntu dan busuk. Tapi kami sudah siap dengan langkah-langkah pencegahan yang telah diajarkan oleh nini bini iaitu dengan membuat umpan-umpan itu ke dalam bekas boleh memuat sejumlah umpan yang telah dipotong-potong dengan membubuh satu plastik kecil garam. Dengan ini sebenarnya sistem pengawet telah diajarkan kepada kami. Sekali lagi sekalong budi telah dicurahkan kepada cucu yang sedang meniti alam remaja yang serba kekurangan dari segi ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi petua-petua orang tua yang telah merasa asam garam terlebih dahulu. Setelah selesai sesi mnyediakan umpan, bererti hampir separuh dari keperluan untuk membintur sudah disiapkan. Jauh di dalam sanubari, aku berharap persiapan rakan-rakan yang lain juga akan berjalan dengan dan lancar dan teratur.

"Oooooiii...Wang!" sesekali kedengaran suara memanggil jauh kedengaran dari pintu dapur. Suara itu tidak lain tidak bukan adalah suara seorang Ibu yang mungkin tercari-cari, maklum saja lah sejak pulang dari sekolah tidak kelihatan lagi berada di rumah. "Apa...! di balai kami" jawab ku secara spontan. Setelah itu tidak kedengaran lagi suara Ibu yang curiga, mungkin sudah kerana ada tindakbalas dari orang yang dicarinya. Dengan membawa bersama bekas yang berisi umpan yang sedang diawet itu tadi kami pun beredar naik ke atas Balai untuk menyimpannya ditempat yang lebih selamat. Kerana mungkin saja umpan tadi akan dinikmati lebih awal oleh anjing yang berkeliaran di situ. Bekas itu akan diletak di sudut Balai dengan ditutup rapat dengan kayu yang agak berat dan ditambah lagi dengan sebiji batu yang sederhana besar untuk mengelakkan ianya dibongkar.

Seterusnya alat menangkap ketam atu lebih aslinya digelar BINTUR pula mengambil tempat. Biasanya memang sejak turun temurun boleh dikatakan setiap penduduk kampong mempunyai bintur, paling sedikit pun dua tiga biji. Ditambah lagi nanti bintur yang dipinjam dari Padamit atau Amit sudah mencukupi untuk kami bawa bersama pada esok hari. Memang pada hakikatnya membuat bintur ini tidaklah terlalu sukar, bahan-bahannya pula mudah didapati di persekitaran hutan di belakang rumah. Antara bahan-bahan yang utama seperti buluh atau kacap iaitu sejenis kayu liar yang tumbuh di hutan, biasanya ia akan menjalar dari permukaan tanah sehingga kepada puncak sepohon kayu yang besar. Kayu ini juga mempunyai nama jolokan waktu kami diusia kanak-kanak sebagai TALI TARJAN, bubulnya pula atau jaringnya diperbuat dari nelon yang dianyam atau dibubul mengikut saiz yang diperlukan.

Membuat bintur ini tidak banyak memerlukan masa yang panjang terutama sekali yang diperbuat daripada buluh. Tetapi kalau bintur yang diperbuat daripada kacap memang memerlukan banyak masa. Kerana kacap yang diambil dari hutan perlulah dulu disimpan atau direndam ke dalam air masin atau sungai sekitar seminggu lamanya. Proses ini adalah untuk membuka kulitnya dan juga ianya lebih tahan lama dan kuat. Setelah itu barulah kerja-kerja membuat bintur dapat dimulakan. Kemahiran ini sebenarnya telah kami warisi dari datuk nenek yang memang mahir dan berpengelaman dari segi membuat alat-alat menangkap ikan dan sebagainya. Mungkin kemahiran ini tidak akan diwarisi oleh generasi selepas saya khususnya kanak-kanak kerana arus kemajuan zaman teknologi yang serba canggih ini juga telah mempengaruhi teknik dan cara menangkap ketam. Beberapa jenis bintur ala moden telah lama bertapak menggantikan cara lama, ianya juga mempunyai hasil yang berkesan sekali dibandingkan dengan cara yang lampau. Namun begitu keadaannya, rasa dan cabarannya tidaklah sehebat dulu mana tidaknya baru memegang tali bintur dan mengangkat sedikit sudah tahu besar kecilnya dan sedikit banyaknya.

Bintur-bintur yang telah dikumpul dan dikemas akan disimpan ke dalam gubang terlebih awal, ianya akan disusun kemas dengan mengambil kira untuk memuatkan peralatan yang lain dan juga tempat pekayuh. Dengan cara ini keesokkan harinya ketika hendak mula turun keadaan akan lebih tenang dan tidak kelam kabut. Pada kebiasaannya bintur akan diletakkan di tengah gubang supaya ianya mudah dicapai oleh pekayuh hadapan mahupun pekayuh belakang. "Bah semua sudah siap ni" kata kawanku yang sejak dari awal lagi mengembeling tenaga bersama, "bah mari tah naik, malam ari sudah" balasku dengan rasa puas.

Sudah terbiasa dengan keadaan waktu senja yang memang memberi wajah yang sayu pada persekitaran kampong tambahan pula bulan purnama yang sedang mendaki langit yang tetap setia berperanan pada setiap 15hb bulan-bulan Hijrah. Nun jauh dari sudut kedengaran suara Azan berkumandang dari menara Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin menandakan waktu maghrib talah pun tiba. Hampir semua kanak-kanak tidak akan berkeliaran di persekitaran lagi diwaktu ini. Kanak-kanak begitu akur dengan tuturan orang tua-tua, kononnya diwaktu begini iblis syaitan akan berkeliaran dan akan menolok siapa sahaja. Dalam simbolik ini banyak tersimpan rahsia, yang tidak dihuraikan satu persatu. Diantara pengertiannya ialah untuk mendidik kanak-kanak atau membiasakan diri waktu begini tidak ada lagi masa untuk bermain atau berkeliaran dan merayau-rayau.

Disebelah malam pula aktiviti persiapan membintur terpaksalah diberhentikan buat seketika kerana aku dan rakan-rakan akan bersiap mandi, memakai kain sarong dan baju melayu serta songkok untuk pergi mengaji Al Quran. Guru mengaji Al Quran baisanya tidak jauh dari persekitaran kampong. Ramailah kanak kanak berduyun-duyun menuju ke rumah guru dengan berbekalkan mukaddam dan kitab suci AlQuran. "Eh singgahi ku karang ah sama sama katani bejalan" pinta ku kepada teman yang baru saja beredar balik ke rumahnya. "Bah karang ku menyinggahi" balasnya. Setelah selesai mengaji kami akan disaji dengan manisan dan juga oren campur kadang-kadang kopi atau teh. Disinilah juga waktunya berbual kosong sambil bertanya kepada rakan yang lain apakah aktivi yang akan dibuat pada esok harinya. Sesetengah dari mereka bercadang untuk bermain bola atau bermain kikik, ada pula bercadang untuk mandi bermain timbul-timbulan dan ada juga yang bercadang untuk bermain guli dan bermain resing, pendek kata bermacam-macamlah jenis riadah yang akan mereka lakukan. Lain pula halnya dengan kami yang memang sudah merancang lebih awal untuk membintur. Sesi mengaji biasanya akan berakhir pada waktu Isyak. Kadang-kadang pula kami sengaja tidak mahu mengaji kerana tidak mahu terlepas untuk menyaksikan rancangan tv yang digemari pada waktu itu. Diantara rancangan yang memang menjadi kegemaran adalah seperti SIX MILLION DOLLAR MAN, AVIONICS WOMAN, HAWAII FIVE O dan sebagainya. Bermacam-macamlah alasan yang akan diberi asalkan dapat bertahan di rumah.

Setelah pulang dari tentu sahaja persiapan akan disambung semula, mungkin saja persiapan terakhir kalau kalau ada yang masih belum selesai. Ini akan tergantung kepada kumpulan masing-masing, tidak hairanlah kalau ada yang masih mengail atau mengemas bintur dan sebagainya hingga ke larut malam. Akan tetapi biasanya kami tidur lebih awal maklum sajalah hendak bangun awal subuh atau sambat. Tidur pula agak gelisah kerana tidak sabar lagi untuk menanti hari esok. Walau seribu hayalan dan angan-angan bermain di benak fikiran, mahu tidak mahu akhirnya mata akan terlelap juga.

Seawal subuh lagi ketika fajar hendak menyingsing ayam berkokok berbalas balas antara satu sama yang lain seolah-olah meraikan suasana waktu fajar yang menyinari kampong. Bunyi ayam yang berbalas itu tadi sudah cukup membuat aku terjaga dari tidur. Entah mengapa waktu begini mata secara spontan tidak mahu tidur lagi walaupun tidak dikejutkan oleh sesiapa pun. Lain pula halnya waktu hari persekolahan memang berat dan payah untuk dikejutkan. Mungkin saja kerana fikiran telah dijerat oleh seribu angan-angan yang akan dilalui sebentar lagi.

Mandi pagi bukanlah satu perkar yang penting apatah lagi keadaan air paip yang begitu sejuk menambahkan lagi malas untuk mandi. Nini laki sudah bungkas dari tempat tidurnya kelihatan seperti hendak menunaikan sembahyang fardu subuh. Ini sudah menjadi rutin baginya kerana seawal begini lah juga dia hendak turun kelaut bekarang lintaunya yang dipasang tidak jauh dari kampong itu juga. Persiapan untuk membuat bata atau bekal dimulai dengan memasak air panas untuk membuat kopi, aku memang begitu biasa dengan kopi walaupun pada dasarnya waktu zaman bebotol puting disaji dengan teh. Ini adalah satu kelainan yang masih menjadi tandatanya kepada ku. Roti biskut tawar adalah bekal sampingan di samping kopi yang disimpan dalam bekas botol yang kira-kira mencukupi sebagai alas perut dari pagi hingga ke petang. Selain dari bekal untuk sarapan pagi kami juga tidak lupa untuk membawa bekalan untuk makan tengahari. Pada kebiasaannya nasi dan juga pusu atau ramis dalam tin sudah mencukupi ala kadarnya. Akan tetapi kadang-kadang ada juga sumbangan diawal pagi begini dari nini bini seperti pisang goreng yang memang sudah disediakan untuk bata nini laki ke laut. "Terima kasih ni... ada jua kan kami makan panas-panas lagi tu" jelas ku kepada nini bini yang begitu taat menyediakan bekal untuk nini laki. Setiap pagi memang begitulah kerjanya tanpa keluhan sedikit pun.

Semua bekal yang disediakan tadi akan disimpan ke dalam sebuah bakul atau belatak yang diperbuat khas untuk membawa bekalan turun ke laut. Bakul ini diperbuat dari buluh yang dianyam rapi oleh nini bini yang memang mahir membuat bakul. Sementara menunggu rakan datang kerumah aku duduk bersantai di pantaran sambil menikmati udara yang segar diwaktu subuh. Aku masih bertengkumus dengan kain tanjung cukup kemas melindungi badan ku yang kedinginan. Dalam suasana ini berterbanganlah keluang-keluang berduyun-duyun tinggi di langit merah menuju destinasi dimana hutan tebal yang terdapat buah-buahan. Suara garau berdetup-detup bunyi enjin disel dari kapal bantun yang sarat mengangkut batu batan melewati kampong menuju ke batu 3 untuk diproses, sangatlah memberi kenangan kepada ku, pada masa ini sudah jarang kedengaran di benak telinga ku sejak aku berhijrah ke darat. Suasana sudah menampakkan kesibukkan dari makhluk ALLAH dari manusia membawa margastua untuk mencari sumber rezeki. Kelihatan jiran-jiran sudah mula turun keperahu berkemas-kemas untuk hala tuju masing-masing. (4th post)
Tunggu lagi sambungan Satu Kati Satu Linggit seterusnya di minggu hadapan ok. Insya Allah

0 comments: