I made this widget at MyFlashFetish.com.

Search This Blog


ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA. BLOGSPOT ANI DIBUAT UNTUK MENYIMPAN KENANGAN MANIS DAN PAIT MELALUI GAMBAR DAN TULISAN, UNTUK BERKONGSI PENGALAMAN, PENGETAHUAN, PEGAJARAN, TEMPAT DAN KESIUKKAN MENGAIL. IANYA JUA UNTUK MENGENALI DAN MENGENALKAN NAMA DAN JENIS LAUK DI AING MASIN DAN AING TAWAR YANG ADA DI LAUT, DI TEPI PANTAI, DI SUNGAI MAUPUN DI TASIK YANG TERDAPAT DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM ANI MELALUI GENG PENGAILAN SEMUA. KAMI UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA YANG BERKESUDIAN MENGUNJUNGI BLOGSPOT ANI.

Kepada geng pengailan semua mun kan berkongsi gambar, cerita, tulisan, pengajaran, pengalaman, trip mengail, alat-alat mengail, alat-alat penangkapan yang lain atau apa saja lah samada petua, pantang larang atau etika mengenai mengail boleh lah mengirimkan ke

Pa_damit@hotmail.com

Preciousanglers@gmail.com

8193404 (bmobile)
8773404 (dst)


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Satu kati satu linggit

Friday 25 September 2009

SATU KATI SATU LINGGIT

ani adalah satu pengalaman salah seorang ahli Precious iaitu Pa Iring-Precious bersama kawan2 yang seangkatannya di tahun 70an dalam aktiviti membintur. Tulisan atau cerita ani bukannya rekaan, ianya adalah satu pengalaman manis dan pait yang pernah di lalui oleh beliau sendiri untuk menampung perbelanjaan seharian dan persekolahan. Macam2 halangan rintangan dugaan yang bisdia harungi. Semoga pengalaman atau cerita ani akan dapat memberi manfaat dan pengajaran kepada generasi masani dan akan datang, menjadikan sukat2 atau sampadan. Terpulanglah kepada bisdia untuk memanfaatkannya dari semua sudut. Disamping atu semoga pengalaman ani akan menjadi ristaan kepada kawan2 seperjuangan yang pernah bajarih bakayuh bahujan dan bapanas bersama mengharungi zaman remaja dengan penuh kenangan manis dan pait.


SATU KATI SATU LINGGIT

Seguni demi seguni dinaikkan ke tambing Kianggih dan di timbang. Keadaan agak sibuk dalam suasana menjual ketam kepada seorang tauke ketam yang berbangsa cina. Beliau akan sentiasa menunggu kedatangan kami dan pembintur yang lain ke tambing Kianggih dengan tabah dan sabar. Kami akan membawa hasil tangkapan untuk dijual dengan menaiki perahu tambang menuju ke tambing Kianggih berhadapan dengan panggung Bolkiah. Setelah perahu tambang yang kami naiki selamat mendarat di tambing, rasa ingin tahu semakin berdebar berapa katikah ketam yang kami perolehi yang dibungkus kemas dengan guni gula. Maklum sajalah banyak ketam yang kami perolehi banyaklah jua duitnya setelah kami menjualnya nanti.

"Bah angkat tia ketam kamu ah" pinta ku kepada rakan-rakan yang lain yang turut sama hendak menjual hasil mereka. "Tauke berapa satu kati ini ari?" tanya saya kepada tauke ketam yang segak berdiri sambil tangan mencekak pinggangnya bagaikan seorang mandur yang sedang menjaga pekerja yang bekerja di ladang getah. Mulut tauke tersebut terkemut-kemut seolah-olah ingin menyatakan sesuatu untuk membalas pertanyaan yang saya ajukan kepadanya. " Apa pasal ahir ini ari, saya sulah mau yalan woo". Seraya balasnya dengan loghat melayu ala cina nya. Keadaan tauke hari ini agak kelam kabut, mungkin kedatangan kami sudah agak lewat baginya. Maklum sajalah berniaga semuanya mahu cepat dan tepat, lebih-lebih lagi bangsa cina yang mempunyai disiplin yang kuat dalam perniagaan. "Tausah marah lah tauke, ini ari angin sikit ada kuat bah" sahut ku lagi kepadanya. Tanpa berlengah lagi dia pun mengambil timbangan dacingnya lalu menyangkutkannya pada guni yang sarat berisi ketam. Dengan penuh tabah memerhati akan perbuatan tauke yang sedang menimbang, di dalam hati pula penuh pengharapan agar beratnya akan mencapai lebih sepuluh kati, "Dapat jua usin merah" hati kecil ku berkata. Keadaan menjadi sikit seram sejuk bagaikan menunggu keputusan pertandingan. "13 kati" tiba-tiba keputusan dikeluarkan setelah puas mengimbangi batu pembalas berat dacingnya. Sekati dari 13 kati tadi akan ditolak untuk mengimbangi berat guni gula yang digunakan.

Pada kebiasaannya aku dan rakan-rakan akan merancang dan mencadang terlebih dahulu setiap kali hendak turun ke laut untuk membintur. Selalunya hari minggu adalah hari yang sesuai ataupun cuti umum lebih-lebih lagi waktu cuti sekolah. Setelah pulang dari sekolah pada waktu petang Sabtu aku dan rakan akan berlari keriangan melalui titian pail meninggalkan bangunan sekolah menuju ke rumah kerana sudah tidak sabar lagi hendak memulakan aktiviti. Titian pail yang ku lalui bagaikan terbang di angkasa, jauh pun tidak terasa lagi. Setibanya di rumah, segala peralatan sekolah seragam sekolah terbang melayang entah kemana bagaikan mahasiswa yang tamat pengajian. Dengan berseluar pendek berbaju T tanpa selipar sudah siap untuk memulakan aksi, Selipar!........? tidak penting, bukan pakaian utama. (1st post)


Perbincangan akan dijalankan dengan segera kerana ada banyak agenda-agenda yang perlu dibincangkan dan diselesaikan dengan segera sebelum matahari terbenam menjelang maghrib. Segala perbincangan akan diadakan di jambatan atau jeti di persekitaran rumah kejiranan kampong. Diantara agendanya ialah meminjam gubang atau bidar, bintur, pengayuh, umpan, bata(bekal) dan persiapan terakhir sebelum bertolak esok pagi. Akan tetapi ada juga yang berbincang secara persendirian, takut kalau-kalau strategi akan di ketahui orang. Terutama sekali mereka yang ada mempunyai kelengkapan sendiri yang mencukupi.

Dalam aktiviti membintur ini biasanya berkumpulan, yang mengandungi dua orang dalam setiap kumpulan. Ada juga yang akan pergi bersendirian atau lebih daripada dua orang. Akan tetapi dua orang adalah keramaian yang paling ideal memandangkan kepada muatan gubang atau bidar yang begitu terhad. Tajuk utama dalam perbincangan adalah membintur. Pembahagian tugas pun mula dijalankan. Diantara agenda yang paling utama ialah meminjam gubang. Dalam ini ia adalah dikategorikan sebagai yang paling penting kerana satu satu misi boleh terjejas sehingga menyebabkan pembatalan yang sangat megecewakan. Dalam sesi meminjam gubang ini para nelayan kecil dan juga padian akan menjadi sasaran yang utama dan yang paling strategik. Dianggarkan dalam kampong yang mempunyai gubang pada masa itu adalah sekitar balasan buah. Akan tetapi belasan perilaku dan alasanlah yang akan dihadapi. Maklum sajalah gubang atau bidar itu adalah sumber mata pencarian mereka.

"Ni Tuan... minjam ku gubang kita ah... kan membintur kami esok ni di Buang Sakar ah..." betapa halusnya perkataan ini kami luahkan. "Eh esok nini kan bekayuh bekarang lintau ah", balasnya secara spontan kepada rombongan kami yang berhajat. Jelaslah seperti yang saya katakan tadi halangan dan rintangan sudah pasti akan kami hadapi. Namun kecewa diperingkat awal bukanlah tabiat kami. Percubaan demi percubaan kami jalankan namun keberhasilannya masih samar-samar.

Perundingan terpaksa dimulakan semula untuk memasang strategi seterusnya. "Bah kali ani cuba tia pulang arah Liau Haji ah mana tau ia esok inda bekayuh", cadangan dari rakan yang tiba-tiba memecahkan kebuntuan seketika. Setelah keputusan dibuat sebulat suara, kami pun mengadu nasib berjumpa dengan Liau Haji. "Liau Haji kami ani kan minta tolong arah kita, dapat kami minjam gubang kita atu?" tanya ku dengan penuh pengharapan. "Eh... kan kemana kamu cu...?" tanya nya lagi. Ini adalah satu petanda kecil bahawa permohonan kami kali ini akan diluluskan. "Ni nah... kan membintur kami esok, ramai kami kali tu, ada jua dua tiga buah kali tu..." jawab ku dengan penuh susunan peribahasa. Di dalam hati terus berdoa dengan penuh gementar. "Bah... bisai-bisai saja, esok mun abis membintur antat bebalik payah nini karang..." ternyata kali ini kami tidak dihampakan, kegembiraan mula menyelubungi jiwa kami, mana tidaknya aktiviti yang telah dirancang mula terbayang. Walaubagaimanapun ada juga kumpulan yang gagal meneruskan misi kerana nasib tidak menyebelahi mereka. Setelah sesi meminjam gubang selesai, ada beberapa perkara lagi yang tidak kurang juga pentingnya untuk diurus. (2nd post)

Perahu yang dipinjam yang telah lulus kebenarannya akan dibawa dengan bekayuh menuju ke rumah. Ianya akan diikat dengan kemas dan rapi ditiang bawah rumah. "Eh apa abar durang ah... belurih kah sudah meminjam gubang atu ah..." tiba-tiba pertanyaan ini terdengar, kerana kumpulan yang lain masing-masing mengadu nasib kesana kemari serata kampong untuk meminjam gubang. "Antah... mudah-mudahan jua belurih..." Sewaktu mengayuhkan gubang dari rumah Liau Haji ke rumah kami betapa sudah terasa hangatnya aktiviti yang akan berlansung pada esok harinya, rasanya tidak sabar lagi untuk melihat ketam-ketam perperangkap di dalam bintur. "Eh...eh jaga-jaga tekana karang ni tiang ah" jerit temanku yang berkayuh sama. Aku terjaga dari lamunan, tanpa ku sedari kami telah merapati tiang rumah di mana gubang ini akan ditambat. " Bah kau ikat caruknya atu arah turus ah..." Sementara aku pula mengikat disebelah buritannya keturus yang telah tersedia sambil menimba sisa air yang masih bertakong di dalam gubang dengan timba yang dibuat dari bekas botol Clorox yang agak besar dipotong bahagian tengahnya dan diberi tangkai kayu untuk kemudahan ketika menggunakannya. Setelah semuanya rapi tersusun dan kemas kami mulalah meninggalkan gubang dengan menaiki tangga itik yang diperbuat dari batang nibong menuju ke atas titian pail. Kelegaan mula dikecapi kerana salah satu perkara yang penting telahpun dapat diselesaikan. Sementara itu rupa-rupanya rakan-rakan yang lain telah menunggu kedatangan kami. "Belurih tah kamu meminjam gubang ah...?" tanya ku kepada rakan-rakan yang sedang menunggu ketibaan kami. "Au... arah Tangah Tuan ah kami meminjam, esok inda ia turun nya." Ku rasa rakan saya kali ini agak bernasib baik kerana tidak begitu banyak kerenahnya.

Walaubagaimanapun begitulah sikap dan perangai orang tua-tua pada ketika itu. Mungkin pada dasar dan nilai halus secara simboliknya terselit sedikit sebanyak pengajaran bagi generasi penyambung selepas mereka. Diantara maksud yang dapat saya ambil iktibar adalah seperti menanamkan sikap cermat harta benda, adap dan sopan santun ketika berinteraksi dengan golongan orang yamg lebih tua dan juga sikap berdikari. Memang orang tua-tua akan mudah terpengaruh dengan budi bahasa dan sopan santun yang baik. Jika kita bijak memberi keyakinan, mereka tidak akan keberatan.

Diwaktu usia ku ketika itu aku tidak akan menterjemahkannya seperti ini selain dari tohmahan bahawa orang tua itu mempunyai sifat kedekut atau karit. Tetapi sebenarnya itulah kenyataan bahawa didikan orang tua-tua terlalu simbolik, kan halnya ia lebih berkesan sehingga nilai-nilai keperibadiannya meresap ke dalam kalbu sehingga kehari ini.

"Bah jangan tah lalai-lalai lagi umpan belum ada ini..." seru saya kepada rakan-rakan yang lain. Matahari pun sudah malu-malu untuk menampakkan dirinya, waktu sudah menunjukkan pukul 6 petang. Sesi seterusnya ialah untuk mencari umpan, di mana pada kebiasaannya kami tidak perlu membelinya di pasar. Bedukang adalah sejenis ikan yang sentiasa berenang berlegar-legar di sekitar perairan rumah di Kampong Ayer, makhluk inilah yang akan menjadi sasaran utama sebagai umpan. Dengan menggunakan mata kail dan tnagsi yang agak besar tanpa pemberat berumpankan tepung yang sudah diuli atau pisang adalah teknik yang paling berkesan digunakan bagi menangkap ikan bedukang ini.

Bedukang begitu mudah tertangkap dengan teknik ini, walaupun kadang-kadang menghadapi kesukaran untuk menangkap disebabkan oleh faktor air surut penuh atau tuhur barat namun itu hanyalah kadang-kadang. tidak disangkal bahawa spesis ini tidak ketinggalan dari fenomena kepupusan. Pada waktu itu tidak lah diketahui secara tepat apakah penyebab utama kepada kepupusan. Mengikut kajian saintifik dewasa ini adalah disebabkan oleh persekitaran yang sudah tercemar oleh beberapa gajala yang tidak dipantau secara sistematik pada waktu itu. Sisa air buangan ketika mencuci pakaian menggunakan sabun pencuci adalah antara penyebab yang utama. Selain itu alat menangkap ikan yang digelar kabatan juga memberi kesan, kerana ikan bedukang ini akan terperangkap di air tuhur, sehingga menyebabkan korban bedukang yang begitu besar kerana ia tidak tergolong dalam jenis ikan yang lumrah dimakan. Walaubagaimanapun ALLAH maha berkuasa ikan ini masih lagi dapat dilihat dipersekitaran perairan rumah-rumah di Kampong Ayer.

Cabaran atau tarikan ikan bedukang ini ketika kail sudah mengena cukup hebat, apatah lagi yang mempunyai saiz badan yang mempunyai berat mencecah kepada 2 kilo ke atas. Di sinilah juga mula aku meminati memancing sehingga kehari ini. Bolehlah juga aku digelar KARAK kerana saban hari atau minggu pasti aku akan ke laut untuk memenuhi minat itu. Walaupun kadang-kadang hasilnya kurang lumayan namun kepuasan adalah objektif utama.

Banyak ikan bedukang yang akan ditangkap tergantung kepada berapa banyaknya bintur yang akan kami gunakan. 30 membawa kepada 40 biji bintur adalah jumlah purata yang akan kami bawa setiap kumpulan. Dalam seekor bedukang yang bersaiz sederhana boleh dipotong sehingga terjumlah kepada 8 ke 10 potong. "Eh cukup tah kali 5 ekong ani eh... bintur katani ganya 35 biji" kata ku kepada teman. "Bah cukup tah katani kan mengarat lagi" belas teman saya. Setelah jumlah bedukang yang tertangkap memuaskan, kami pun beredar ke darat atau di belakang rumah. Keadaan rumah kami pada ketika itu adalah sangat strategik kerana ianya terletak tiga suku di air dan suku di tannah kering. Biasanya di belakang rumah akan dibuat anjung legar atau nama khususnya BALAI. Balai ini adalah tempat segala macam aktiviti orang tua-tua ketika tiada aktiviti ka laut dijalankan terutama sekali musim tengkujuh atau landas. Biasanya nini laki lah yang menghuni dari pagi sehingga menjelang maghrib. Antara aktiviti yang dilakukan ialah membaiki pukat, rambat, balat lintau, mengasah pemarang, membuat belatak atau bakul, membuat pengayuh dan bermacam-macam lagi. Tapi yang memberi kenangan yang mendalam kepada saya ialah ketika memupuh kayu atau membuka kulit kayu bakau dengan memukul potongan kayu tersebut sebelum ia dibelah-belah untuk dijadikan kayu api.

Masih segar di mata, telinga dan juga minda saya akan bunyi berbalas-balas pukulan, dimana dalam aktiviti ini ramai kanak-kanak terutama cucu-cucu akan ikut serta dalam mengupas kulit kayu bakau ini. Upah adalah tarikan utama, biasanya 5sen bagi setiap potong ukuran 2 kaki. Atau lebih jelas pada waktu digelar BALAMAN. Tetapi ada kalanya lebih menyeronokkan dari upah duit, iaitu minum petang bersama-sama dengan nini laki, dimana hidangan kueh jala dan tumpi sungguh menyelerakan apatah lagi dengan hidangan kopi pekat yang masih panas. Tempat minum ini pula berlangsung di atas bakut bukan di atas meja seperti sekarang ini. Bakut ini pula terjadi hasil dari timbunan potongan balaman dan kulit kayu itu tadi. Suasana seperti ini lah yang sering menjadi ristaan dan nostalgia yang mungkin tidak akan berulang lagi, mana tidaknya dapur gas dewasa ini telah mendominasi cara untuk memasak. Tambahan pula arang batu atau arang kayu sudah ada di pasaraya dalam bentuk paket yang penuh dengan sistematik dan jenama. Saya rasa suasana seperti itu sudah berlalu dan tidak akan kembali lagi. (3rd post)

Ok singan sini saja dulu ah nanti lagi ku menyambung ceritanya galih ku sangal jari ku bah menaip ah maklum saja lah menaip macam patuk ayam, inda ku tahan jua maliat komputer atu batah macam kan paning ku rasanya bah. Panjang ni ceritanya ani 16 mukasurat, satu muka surat 2 kolom. Tunggu saja ah cerita selanjutnya ok jangan marah ah.

1 comments:

C.P. Awie said...

nostalgic... tekanang masa ku damit-damit...